Sultan Johor tetap hadir walau tangan cedera

  • 6 years ago
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tetap hadir pada perayaan Thaipusam semalam biarpun tidak dapat berjabat tangan kerana kecederaan.

Sultan Ibrahim tiba di Kuil Sri Subramaniar di Tampoi, Johor pada jam 12.00 tengah hari.

Walaupun tidak dapat bersalaman, orang ramai menyambut meriah keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Baginda kemudian berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari dan turut meluangkan masa beramah-mesra dengan orang ramai sebelum berangkat pulang seperti ditulis pada laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sebelum ini baginda menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat bersalam dengan orang ramai khususnya masyarakat India pada perayaan Thaipusam.

baginda mengalami kecederaan ditangan kanan akibat melecur ketika menyediakan makanan di istana pada Sabtu lalu.

"Tangan saya mengalami kesan melecur yang agak teruk ketika memasak. Oleh itu, saya tidak akan dapat bersalaman dengan orang ramai dan agak kurang sopan jika kita menyambut salam dengan tangan kiri. Saya berharap orang ramai akan memahami situasi ini," titah baginda.