Annuar diberi masa 24 jam untuk mohon maaf - DAP

  • 6 years ago
Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer menuntut Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membuat permohonan maaf berhubung kenyataannya yang mendakwa kemenangan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah dengan memecah-belahkan orang Melayu.

Menurut Rayer, kenyataan Annuar yang juga adalah setiausaha agung Umno bersifat fitnah, dan beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Saya minta Annuar Musa yang telah menyatakan bahawa parti DAP telah memecahbelahkan orang Melayu, itu kenyataan beliau.

"Saya minta beliau supaya menarik balik kenyataan tersebut dan mohon maaf, kalau tidak berhadapan dengan tindakan undang-undang sama ada sivil mahupun laporan polis dibuat," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.


Rayer merujuk kepada kenyataan Annuar dalam ceramah politiknya semasa Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis baru-baru ini mendakwa keberadaan tampuk DAP di Putrajaya adalah kerana parti itu berjaya memecah-belahkan orang Melayu.

Justeru, pemimpin DAP itu memberikan masa 24 jam kepada Annuar untuk memohon maaf.