Sultan arah kerajaan segera atasi kenaikan kos makanan

  • 5 years ago
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar kerajaan segera merangka langkah-langkah strategik untuk menangani peningkatan kos bahan makanan.

Baginda bertitah langkah-langkah strategik tersebut wajib memberi keutamaan terhadap peranan penting serta keperluan kritikal sektor pertanian.

Sultan Nazrin beritah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta diketuai DSP Muhammad Ulul Azmi Muhamed.

Sultan Nazrin bertitah, daripada 15 juta pekerja di Malaysia, hanya 1.8 juta terlibat dalam sektor pertanian dan perangkaan itu amat membimbangkan bagi negara yang mempunyai 32 juta penduduk seterusnya diunjur meningkat 36 juta pada 2030.

Berdasarkan kepada situasi tersebut, baginda bertitah jaminan makanan semakin menjadi cabaran besar kepada mana-mana kerajaan. - Bernama